Shuhaily belum boleh kembali ke polis tanpa perkenan Agong – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum memuktamadkan proses pemulangan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ke pasukan polis.
Beliau berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diperlukan bagi menamatkan lebih awal tempoh pelantikan Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS yang sepatutnya berlangsung selama dua tahun bermula 1 Julai 2025.
Menurut Mohd Khalid, selepas Shuhaily kembali ke PDRM, tindakan susulan akan dipertimbangkan berdasarkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), termasuk perkara berkaitan tatatertib.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 29 Oktober lalu mengesahkan kementeriannya memutuskan untuk menamatkan penempatan Shuhaily di AKPS dan mengembalikannya ke PDRM.
Shuhaily sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.



