MAIS syak ayam tidak halal dibekalkan ke restoran milik orang Islam

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesyaki ayam mentah dari sebuah pusat penyembelihan di Puchong yang diserbu semalam turut dibekalkan kepada restoran milik orang Islam.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan menggunakan renjatan elektrik bervoltan tinggi sehingga menyebabkan ayam dipercayai mati sebelum sempat disembelih.
Dalam serbuan itu, lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas, manakala 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan. Premis terbabit turut diarahkan tutup selama dua minggu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sehubungan itu, MAIS menggesa pengusaha restoran memastikan bekalan ayam diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal sah.
Pengusaha yang menerima bekalan daripada premis terbabit juga diminta menghentikan pembelian serta melaporkannya kepada JAIS, JAKIM atau polis.




