Sekolah turun gred, guru kanan berisiko hilang elaun bulanan

Penurunan gred sekolah menyebabkan sebahagian Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) sekolah menengah berisiko kehilangan Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) sebanyak RM120 sebulan.
Elaun itu hanya diberikan kepada GKMP yang berkhidmat di sekolah Gred A, manakala guru di sekolah Gred B dan C tidak layak menerimanya walaupun memikul tanggungjawab sama.
Menurut surat Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 8 Oktober lalu, penggredan baharu sekolah bagi 2026 berkuat kuasa pada 11 Januari 2026.
Susulan itu, pembayaran ETPS kepada GKMP sekolah menengah Gred A yang diturunkan ke Gred B perlu dihentikan, manakala bayaran yang diterima selepas tarikh tersebut perlu dikutip semula mengikut tatacara kewangan. Bagaimanapun, GKMP sekolah rendah tidak terjejas dengan perubahan gred berkenaan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula kelayakan elaun itu supaya turut diberikan kepada GKMP sekolah menengah Gred B.
Katanya, guru di kedua-dua kategori sekolah mempunyai tanggungjawab dan beban kerja yang sama, termasuk menyelia serta menyelaras bidang mata pelajaran seperti Bahasa, Sains, Matematik dan Sains Sosial.
Menurut Aminuddin, NUTP sudah lama membangkitkan isu itu dan berharap JPA memberikan keputusan segera, memandangkan pembayaran ETPS tertakluk kepada bidang kuasa jabatan berkenaan, bukan KPM. Setakat ini, KPM masih belum memberikan maklum balas dan meminta masa untuk membuat semakan.




