Lumba haram di Linkedua, remaja Singapura antara tiga didenda RM3,500

Seorang remaja warga Singapura berusia 19 tahun antara tiga individu yang didenda RM3,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana terlibat dalam lumba haram di Lebuhraya Laluan Kedua (Linkedua), 18 Oktober lalu.
Tiga tertuduh ialah Syajahan Alfian Abdullah, 19; Muhammad Daniel Hakim Mohamad Rashid, 24; dan Gonzales Mckhovic anak George, 18. Mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Syajahan didakwa menunggang motosikal pada kelajuan tinggi dan menyertai perlumbaan di Kilometer 12.5 arah selatan, manakala dua lagi didakwa berlumba di laluan arah utara antara Kilometer 7.8 hingga 18.2. Kedua-dua kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 pagi.
Syajahan didakwa mengikut Seksyen 42A(2), manakala dua lagi mengikut Seksyen 42A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kesalahan itu membawa denda RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun. Mereka juga boleh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.




