Ibu bapa pelajar maut akibat racun mahu KPM siasat punca kematian

Ibu bapa kepada pelajar perempuan 17 tahun yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Klang selepas didakwa minum racun menuntut keadilan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
M Gopalan, 47 dan P Magaswari, 44 yang mendakwa pihak sekolah gagal memberi rawatan segera atau membawa anak mereka ke klinik berdekatan menjadi punca kematian G Sarvina pada 27 Mei lepas.
Pengarah Perundangan, Arun Dorasamy mewakili ibu bapa mangsa di Pejabat KPM di Putrajaya pada Khamis memberitahu, tiada bantuan kecemasan diberikan kepada mangsa atas alasan prosedur operasi standard (SOP) memerlukan kehadiran ibu bapa.
“Tujuan kami datang sini, untuk mendapatkan maklumat mengenai kematian Sarvina dan kita tidak dapat apa-apa maklumat. KPM hanya memberitahu kami isu ini dalam siasatan kita tidak boleh beri apa-apa maklumat.
“Jadi, adakah KPM cuba beritahu ibu bapa (mangsa) bahawa tak tahu apa jadi kepada anak mereka. Siasatan itu satu perkara, satu perkara lagi adalah ibu bapa (mangsa) nak tahu apa yang berlaku kepada anak itu,” katanya pada sidang media di KPM.
Sementara itu, Magaswari mendakwa anaknya tidak menunjukkan tanda-tanda yang pelik sebelum kejadian berlaku selain mendakwa anaknya seorang yang ceria dan rajin.
Terdahulu, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam kelas bersama tiga pelajar lain pada waktu rehat sebelum rebah dengan mulut berbuih dipercayai akibat meminum racun.
Keluarga mangsa kini menuntut inkues bagi menyiasat punca kematian serta kemungkinan kegagalan pihak sekolah melindungi kebajikan pelajar.




