Kesibukan KLIA hampir setaraf Lapangan Terbang Changi, terima lebih 3.3 juta penumpang

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Asia Tenggara, menurut data terbaharu OAG Aviation.
Sehingga September ini, KLIA mencatatkan 3.32 juta tempahan tempat duduk iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, Lapangan Terbang Changi, Singapura mendahului senarai di rantau ini dengan 3.58 juta tempahan tempat duduk manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia berada di tempat ketiga.
Malaysia merekodkan kira-kira 27 juta pelawat antarabangsa pada 2024 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 31 juta tahun ini, iaitu peningkatan 15 peratus.
Lapangan Terbang Changi di Singapura kekal menjadi penanda aras utama dengan pengendalian kira-kira 69 juta penumpang pada tahun lepas.
Namun, KLIA semakin merapati jurang tersebut dengan kira-kira 57 juta penumpang manakala Lapangan terbang Soekarno-Hatta Airport, Jakarta juga kekal antara yang tersibuk dengan kira-kira 49 hingga 55 juta penumpang setahun.




