Abdul Aziz Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lalu, menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib pada Julai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Abdul Aziz, 59, mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam PDRM dan pernah berkhidmat di beberapa jabatan utama termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas, Narkotik dan Siasatan Jenayah Komersial.
Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dan Timbalan Pengarah Narkotik sebelum dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman.




