Cadangan kekal kuota 300 liter RON95 untuk media akan dibincangkan — Fahmi

Kerajaan akan membincangkan cadangan untuk mengekalkan kuota 300 liter RON95 di bawah program subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini.
Fahmi menjelaskan cadangan tersebut timbul susulan pelaksanaan semakan semula kuota minyak yang sebelum ini telah diturunkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan secara sementara.
Menurutnya lagi, kerajaan kini sedang menilai semula kesan pelaksanaan kuota tersebut terhadap rakyat, termasuk golongan yang bergantung kepada kenderaan untuk kerja harian seperti petugas media, e-hailing dan sektor logistik.
Sementara itu, Gabungan Kelab Media Malaysia, (GKMM) semalam menggesa kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas untuk pengamal media berdaftar bagi mengekalkan kuota 300 liter RON95 sebulan.
Fahmi berkata sebarang keputusan lanjut mengenai sama ada kuota 300 liter akan dikekalkan atau disemak semula akan diumumkan selepas perbincangan di peringkat kerajaan selesai.



