Dibantah keras, projek ladang babi Bukit Tagar dibatalkan – MB Selangor

Kerajaan Selangor membatalkan dan menangguhkan projek ternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor sementara menunggu cadangan lokasi atau kaedah lebih sesuai.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas menerima bantahan keras daripada penduduk setempat serta cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Projek asalnya bertujuan menangani masalah pencemaran yang berlaku di Tanjung Sepat, Kuala Langat sejak bertahun-tahun lalu.
Namun, pengumuman awal mengenai projek tersebut mencetuskan kontroversi dan kritikan, termasuk kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, terhadap kesan penternakan berskala besar di kawasan penduduk.
Kerajaan negeri kini masih meneliti alternatif tapak dan kaedah penternakan moden yang lebih sesuai sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.



