
Kumpulan pop tempatan, Insomniacks, tampil memohon maaf selepas muzik video (MV) single terbaharu mereka, Bersuara, menjadi perhatian di media sosial.
Ini kerana didakwa mempunyai persamaan dengan MV lagu Beautiful Life milik kumpulan K-pop, Xdinary Heroes.
Susulan reaksi peminat yang mengesan elemen visual dan konsep hampir sama, Insomniacks mengambil keputusan menurunkan MV tersebut daripada semua platform rasmi.
Menurut kumpulan itu, persamaan berkenaan berlaku akibat kecuaian dalam pemantauan kreatif ketika proses penerbitan, terutama apabila sebahagian kawalan produksi diserahkan kepada pasukan produksi kerana kekangan masa.
Vokalisnya, Iqie atau Syed Mir Iqbal turut mengakui kesilapan tersebut dan berharap orang ramai tidak melemparkan kebencian kepada mana-mana pihak yang terlibat.




