Doktor warga Singapura didakwa rakam lebih 450 video rakan sekerja dalam tandas

Seorang doktor warga Singapura berusia 27 tahun yang menetap di Australia didakwa dengan lima pertuduhan baharu selepas dipercayai merakam video rakan sekerja secara rahsia di tandas hospital.
Pertuduhan termasuk menghasilkan imej intim, menggunakan alat pengawasan optik dan enggan bekerjasama dengan siasatan polis.
Polis Victoria mendedahkan mereka menemui lebih 4,500 video intim melibatkan sekurang-kurangnya 460 mangsa yang dirakam antara tahun 2021 hingga 2025.
Mangsa kebanyakannya adalah staf wanita seperti doktor, jururawat dan paramedik di tiga hospital utama di Melbourne, termasuk Austin Hospital, Royal Melbourne Hospital dan Peter MacCallum Cancer Centre.
Rakaman didakwa dibuat di tandas, bilik mandi hospital, malah ada juga dari kediaman mangsa. Polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba, pemacu keras, dan beberapa peralatan yang digunakan untuk merakam secara tersembunyi.
Doktor tersebut, yang tamat pengajian dari Universiti Monash pada 2022, kini digantung lesen perubatannya dan tidak dibenarkan diikat jamin. Dia dijangka hadir semula ke mahkamah pada November ini.




