Australia nafi tragedi Bondi Beach berlaku kerana iktiraf Palestin

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menegaskan tiada kaitan antara serangan maut ketika sambutan perayaan Yahudi di Sydney dengan keputusan kerajaan beliau mengiktiraf negara Palestin.
Beliau menekankan keutamaan kerajaan adalah memberi sokongan kepada komuniti Yahudi serta menegaskan solidariti rakyat Australia bersama mereka susulan insiden berkenaan.
Albanese turut menyatakan bahawa penyelesaian dua negara kekal sebagai pendekatan yang diiktiraf majoriti masyarakat antarabangsa. Australia secara rasmi mengiktiraf Palestin pada September lalu, susulan konflik berterusan di Gaza.
Bagaimanapun, selepas serangan pada Ahad, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menuduh Australia menyumbang kepada peningkatan sentimen anti-Semitik dan gagal mengambil tindakan tegas menanganinya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengenal pasti seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun sebagai pelaku insiden tembakan di Bondi Beach yang mengorbankan 15 orang ketika sambutan Hanukkah.
Lelaki berkenaan maut ditembak polis dan dikenal pasti sebagai ahli kelab memburu yang memiliki lesen senjata api, manakala anaknya kini ditahan dan menerima rawatan di hospital akibat kecederaan serius.



