Malaysia
Dua lagi warga asing direman kes bunuh kanak-kanak lima tahun di Pulau Pinang

Dua lagi warga asing direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Gelugor, menjadikan jumlah individu yang ditahan setakat ini seramai empat orang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu merupakan jiran mangsa dan ditahan pada Jumaat lalu.
Menurutnya, polis sebelum ini telah menahan ibu mangsa, seorang wanita warga Indonesia berusia 30 tahun, serta teman lelakinya warga Bangladesh berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan badan dipercayai disebabkan hentakan objek tumpul.




