Fahmi Fadzil gesa media teroka sumber pendapatan baharu demi kelangsungan industri

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa organisasi media meneroka peluang perniagaan dan sumber pendapatan baharu bagi memastikan kelangsungan operasi dalam landskap media yang semakin berubah.
Beliau berkata, organisasi media perlu menyesuaikan model perniagaan masing-masing bagi menjamin kestabilan dan perkembangan industri dalam jangka panjang.
Perkara itu dikongsikan Fahmi ketika mengadakan lawatan khas ke pejabat Vanakkam Malaysia pada rabu semalam.
Beliau turut ditemu bual secara eksklusif oleh Pengarah Urusan Vanakkam Malaysia, Thiaga Rajan Muthusamy, mengenai cabaran industri media, selain menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
Dalam temu bual itu, Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak di media sosial. Beliau juga berkongsi pengalaman peribadi menyambut Deepavali serta menyampaikan ucapan selamat menyambut perayaan itu kepada seluruh warga Vanakkam Malaysia dan masyarakat yang meraikannya.
Fahmi berharap organisasi media terus bersedia menghadapi perubahan teknologi dan cabaran industri bagi memastikan sektor media kekal relevan serta mampan pada masa hadapan.




