Gaji pendandan rambut cecah RM58,000 sebulan

Baru-baru ini tular di media sosial apabila slip gaji seorang pendandan rambut di sebuah pusat pendandan rambut terkenal di Bangsar didakwa menunjukkan pendapatannya mencecah RM58,363.50 sebulan.
Memetik laporan China Press, perkongsian itu dipercayai dimuat naik oleh seorang perancang kewangan yang turut memaparkan komisen jualan pekerja terbabit yang melebihi RM39,000.
Pusat dandanan rambut yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur itu dikatakan membayar gaji pekerjanya itu sejumlah RM3,000 dan selebihnya merupakan hasil komisen.
Perkongsian itu juga mengingatkan bahawa pendapatan berasaskan komisen yang tinggi perlu diurus dengan berhemah, terutama jika ingin digunakan bagi permohonan pinjaman rumah, kereta atau perniagaan kerana kebanyakan bank lebih mengutamakan pendapatan tetap.
Rata-rata netizen di media sosial mempertikaikan tindakan mendedahkan slip gaji individu lain secara terbuka.
Namun, di ruangan komen, ada juga yang menyifatkan jumlah pendapatan itu tidak mengejutkan berikutan harga pakej rawatan di pusat tersebut yang didakwa mencecah lebih RM10,000.




