Proton Saga baharu dilancar secara rasmi, harga bermula RM38,990

PROTON hari ini melancarkan Saga Serba Baharu, membawa nafas segar kepada sedan legenda negara yang terus menjadi pilihan rakyat sejak tahun 1985.
Lebih menarik, harga rasmi model ini diumumkan lebih rendah daripada jangkaan awal, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai kereta mampu milik untuk semua.
Varian asas Saga Standard ditawarkan pada harga RM38,990, diikuti Saga Executive pada RM44,990, manakala varian tertinggi Saga Premium dipasarkan pada RM49,990.
Model serba baharu ini hadir dengan lima pilihan warna menarik iaitu Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Armour Silver dan Snow White, menampilkan gaya lebih moden sambil mengekalkan identiti kebanggaan nasional yang telah terbina hampir empat dekad.
Dari sudut prestasi, Saga Serba Baharu dipacu enjin i-GT 1.5 bersama Transmisi CVT, menawarkan pemanduan lebih lancar dan responsif dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC).
Peningkatan ini menyokong reputasi Saga sebagai kereta rakyat yang sentiasa berevolusi seiring keperluan semasa.




