HRD Awards 2025 pamer lonjakan kecemerlangan pembangunan modal insan negara

Majlis Malam Gala HRD Awards 2025 mencipta detik penting apabila penganjuran tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah melibatkan 770 organisasi, penyedia latihan dan jurulatih.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof, inisiatif melalui HRD Corp itu akan terus memberi peluang kepada rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran, memperkukuh kebolehpasaran dan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi.
“Melalui HRD Corp, KESUMA kekal komited untuk menyediakan akses kepada semua rakyat Malaysia terhadap latihan berkualiti tinggi dan relevan dengan industri, bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi serta pembelajaran sepanjang hayat.
“Inisiatif yang diperkenalkan oleh HRD Corp, daripada peluasan pembelajaran digital hingga program pembangunan khusus, telah memberi peluang kepada ribuan rakyat Malaysia untuk meningkatkan serta mempelbagaikan kemahiran sekali gus menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya.
Acara yang berlangsung di MITEC dengan tema An Evening of Elegance itu turut diraikan dengan kehadiran pemimpin industri, pempamer latihan serta rakan strategik HRD Corp yang bersama menyokong agenda pembangunan tenaga kerja negara.
Kejayaan penganjuran tahun ini membuktikan bahawa HRD Awards bukan sekadar acara pengiktirafan, tetapi platform penggerak untuk menjadikan Malaysia peneraju pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selari dengan hala tuju ekonomi negara.




