inDrive dapat lampu hijau beroperasi di Malaysia

Platform inDrive menerima lampu hijau untuk terus beroperasi di Malaysia selepas memperoleh kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), susulan tamat tempoh pemantauan pelesenan selama tiga bulan.
Kelulusan itu membolehkan inDrive meneruskan operasi selepas sebelum ini diarahkan menghentikan perkhidmatan pada Mei lalu kerana ketidakpatuhan pelesenan membabitkan sebahagian pemandu.
APAD kemudian membenarkan operasi disambung semula bermula Julai 2025 di bawah pemantauan.
Sepanjang tempoh semakan, inDrive memperketat pematuhan termasuk pengesahan dokumen, audit dalaman serta memastikan semua pemandu memiliki lesen PSV, insurans e-panggil dan Permit Kenderaan E-Panggil (EVP) yang sah.
Dengan kelulusan penuh APAD, inDrive kini hampir mencapai sasaran 40,000 pemandu aktif di seluruh negara, dengan sekitar 95 peratus pendaftaran telah dicapai, selain merancang peluasan pengambilan pemandu di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.




