Isteri peniaga air balang meninggal dunia

Isteri kepada peniaga air balang, Ah Yauddin Ahmad yang sebelum ini tular atas semangat luar biasanya menjaga Roslina Yusuf yang lumpuh, meninggal dunia pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Roslina, 57, yang lumpuh akibat serangan angin ahmar lima tahun lalu, meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang tengah hari Jumaat.
Berita pemergian Roslina disahkan oleh anak tunggal pasangan itu, Siti Nur Aliah yang memaklumkan ibunya menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di hospital berkenaan.
Kisah Yauddin, 63, yang tabah menggendong isterinya turun dan naik dari tingkat empat kediaman mereka di Pangsapuri Meru Ehsan di Klang untuk berniaga air balang menyentuh hati orang ramai apabila ia tular di TikTok.
Kisah susah senang mereka berdua turut mendapat perhatian media sehingga ramai pihak tampil memberi bantuan antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Meskipun berdepan masalah kesihatan termasuk penyakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis, Yauddin tetap membawa isterinya bersama berniaga air balang di Meru, Klang dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.




