Jangan tidur selepas sahur kalau takut diserang GERD

Tabiat terus tidur sebaik selesai bersahur boleh meningkatkan risiko penyakit refluks gastroesofagus (GERD), menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM).
Keadaan baring mendatar menyebabkan asid perut mudah naik ke esofagus, terutama apabila perut terlalu penuh dengan makanan berlemak atau berat.
Tekanan dalam perut yang tinggi boleh menolak injap esofagus terbuka, sekali gus mencetuskan gejala seperti dada pedih terbakar, tekak masam dan pahit, suara serak serta batuk kering.
Proses penghadaman yang perlahan ketika tidur turut memburukkan keadaan apabila makanan lebih lama berada dalam perut dan menghasilkan gas.
Dalam kes serius, asid boleh masuk ke saluran pernafasan dan menyebabkan komplikasi.
Orang ramai disaran menunggu sekurang-kurangnya dua jam selepas sahur sebelum tidur atau berehat dalam posisi separa duduk bagi mengurangkan risiko.



