
Pelawak terkenal, Jep Sepahtu mengumumkan pengundurannya daripada Sinar FM selepas 10 tahun berkhidmat sebagai penyampai radio, dengan hari ini menjadi Jumaat terakhir beliau ke udara di stesen itu.
Jep atau Mohd. Nazri Zainal Abidin, 41, memaklumkan keputusan itu menerusi hantaran Instagram sambil merakamkan penghargaan kepada Sinar FM yang banyak memberi ruang rezeki dan pengalaman sepanjang tempoh berkenaan.
Suami kepada Sari Yanti itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan dan bekas majikan yang dianggap seperti keluarga sendiri.
Pengumuman tersebut mengundang reaksi sedih dalam kalangan pendengar yang mengakui kehadiran Jep menerusi segmen Pagi Di Sinar bersama Rahim dan Ray sentiasa menceriakan pagi mereka.



