Kemunculan bengkel terbesar China, TUHU bakal gugat industri bengkel tempatan?

Kemunculan TUHU, rangkaian bengkel kereta terbesar China, ke Malaysia mencetuskan perhatian besar dalam kalangan pengguna dan pengusaha bengkel tempatan.
Baru-baru ini, TUHU membuka dua cawangan awal di Rimbayu dan Bandar Sunway lengkap dengan perkhidmatan membaiki kereta, mencuci, dan tempahan servis secara digital melalui aplikasi mereka.
Apa yang mencetuskan kebimbangan industri ialah model perniagaan TUHU yang menawarkan harga lebih murah, kos yang telus, serta pengalaman pelanggan yang lebih mesra pengguna.
Melalui aplikasi, pelanggan boleh melihat harga alat ganti dan caj kerja lebih awal sebelum membuat keputusan, sekali gus menghapuskan keraguan yang sering timbul di bengkel tradisional.
Di bengkel, pelanggan dijanjikan penggunaan 100% alat ganti asli, laporan digital, serta kemas kini masa nyata mengenai status servis.
Kehadirannya bukan sekadar membuka cawangan, tetapi membuka era baharu. TUHU dilihat bakal menjadi penanda aras baharu kepada seluruh industri bengkel kereta di Malaysia.




