Malaysia
KKM rancang haram sepenuhnya penggunaan vape

Kementerian Kesihatan menyasarkan pengharaman sepenuhnya rokok elektronik dan vape dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sasaran itu ditetapkan selepas Jawatankuasa Pakar selesai meneliti cadangan berhubung isu berkenaan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau memaklumkan bahawa nota awal sudah dibentangkan dan memorandum akhir akan dikemukakan dalam masa terdekat.
Katanya, keputusan muktamad hanya akan dibuat Kabinet kerana sebarang dasar berkaitan kawalan tembakau dan vape perlu mendapat kelulusan di peringkat tertinggi kerajaan.




