Lelaki saman syarikat penerbangan RM23 juta selepas tercucuk jarum suntikan, takut HIV

Seorang lelaki Amerika menyaman syarikat penerbangan EgyptAir sebanyak AS$5 juta (RM23 juta) selepas tercucuk jarum suntikan yang tertinggal dalam poket tempat duduk semasa penerbangan dari Kaherah ke Washington, D.C.
Kejadian pada Oktober 2024 itu menyebabkan mangsa hidup dalam ketakutan selama berbulan-bulan, bimbang dijangkiti penyakit berbahaya seperti HIV atau hepatitis, selain menanggung bil rawatan dan ujian kesihatan yang tinggi.
Dalam tuntutan mahkamah, lelaki itu mendakwa kecuaian EgyptAir gagal membersihkan kabin dengan baik dan tidak memberi maklumat tentang penumpang sebelumnya.
Akibatnya, dia mengalami tekanan mental, trauma, serta kesan terhadap hubungan peribadi, termasuk perlu menjalani rawatan pencegahan panjang sebelum disahkan bebas jangkitan.




