Lelaki tikam bos lebih 10 kali sehingga mati kerana bagi bonus satu bulan

Seorang lelaki di Jepun ditahan selepas didakwa menikam bosnya hingga mati akibat rasa tidak puas hati terhadap layanan di tempat kerja, termasuk pemotongan bonus daripada satu setengah bulan kepada satu bulan sahaja.
Suspek, Masahiro Yamanaka, 45, ditahan pada 9 Januari kerana disyaki menikam Akihiro Kawashima, 44, lebih 10 kali di sebuah apartmen di Ota Ward, Tokyo.
Mangsa merupakan presiden sebuah syarikat peralatan audio, manakala Yamanaka bekerja sebagai ketua jualan.
Yamanaka mengaku menikam mangsa menggunakan pisau buah, selain menyembur racun serangga ke muka mangsa ketika cuba melarikan diri.
Mangsa mengalami lebih 10 kesan tikaman di beberapa bahagian badan, dengan kesan darah ditemui di seluruh apartmen.
Pihak polis percaya serangan itu dilakukan dengan niat membunuh berdasarkan tahap kecederaan yang dialami mangsa.




