‘The Line’, bangunan terpanjang dunia alami masalah kewangan, jauh ketinggalan dari pelan asal

Projek mega futuristik Arab Saudi, The Line, kini berdepan realiti pahit apabila perancangannya dilapor jauh ketinggalan daripada jadual dan skop asal, lapor The Financial Times.
Bangunan bercermin sepanjang 170 kilometer yang dirancang di tengah padang pasir itu dijangka hanya siap 2.4 kilometer menjelang tahun 2030, jauh berbanding sasaran asal untuk menempatkan sembilan juta penduduk menjelang 2045.
Projek mega di bawah projek NEOM bernilai AS$500 bilion yang digambarkan sebagai bandar tanpa jalan, tanpa kereta dan bebas karbon itu kini dikurangkan skala pembinaannya ekoran tekanan kewangan serta cabaran teknikal rumit.
Penganalisis menjangkakan kos keseluruhan boleh mencecah trilion dolar, menimbulkan beban besar terhadap Public Investment Fund (PIF), dana kekayaan negara yang menanggung projek tersebut.
Selain isu kewangan, The Line turut terpalit dengan kontroversi hak asasi manusia selepas penduduk asal suku Howeitat mendakwa dipaksa berpindah dari kawasan pembinaan dan beberapa ahli suku itu ditahan kerana menentang perpindahan tersebut.
Penganalisis juga mempetikaikan sama ada The Line akan benar-benar berkembang seperti visi asal, atau kekal sekadar mercu tanda kecil kepada cita-cita yang terlalu besar untuk direalisasikan.




