Masak tak sedap, tukang masak wanita mati ditikam di Bukit Mertajam

Seorang tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam hanya kerana hidangan yang dimasaknya dikatakan tidak sedap, dalam kejadian tragis di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru, Bukit Mertajam.
Kejadian kira-kira 9 malam itu membawa kepada kematian mangsa berusia 40-an di lokasi akibat kecederaan parah, manakala suaminya dan seorang rakan turut cedera.
Insiden bermula apabila sekumpulan pelanggan Myanmar, termasuk suspek yang dipercayai mabuk, tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan di restoran masakan Thai tersebut.
Pertengkaran tercetus antara kumpulan lelaki itu dengan mangsa dan suaminya sehingga mangsa mengarahkan mereka keluar dari premis.
Suspek kemudian menghubungi abangnya, kembali ke restoran dan menikam mangsa dengan pisau sehingga maut, manakala polis menahan tiga lelaki Myanmar termasuk suspek dan abangnya bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, manakala dua mangsa yang cedera turut menerima rawatan.




