MEX, DASH, SUKE, LPT1 antara 12 konsesi lebuh raya rugi pada 2024

Pihak yang mencadangkan agar lebih banyak lebuh raya dibina bagi mengurangkan kesesakan trafik perlu menyedari bahawa tidak kesemua pembinaan infrastruktur itu membawa keuntungan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, hampir separuh atau 12 daripada 33 daripada konsesi lebuh raya mencatat kerugian bagi tahun berakhir 2024.
Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (Maju Expressway), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam (DASH), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Ia turut melibatkan Lebuhraya Setiawangsa–Pantai (SPE), Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Klang (SUKE), Terowong SMART, Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (West Coast Expressway) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (Butterworth Outer Ring Road).
Beliau berkata, perbezaan prestasi antara konsesi menunjukkan keperluan penilaian teliti sebelum kerajaan atau mana-mana pihak mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu.



