Persidangan Perniagaan Global ke-13 Bakal Himpunkan Usahawan di Jepun

Dewan Perniagaan Tamil Sedunia (WTCC), dengan sokongan Kerajaan Tamil Nadu dan bimbingan Pihak Berkuasa Pembangunan Perniagaan Osaka (OBDA), bakal menganjurkan Persidangan Perniagaan Global ke-13 pada 3 dan 4 Disember di MyDome Osaka, Jepun.

Persidangan selama dua hari itu akan menghimpunkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengeksport, pengimport, pelabur serta syarikat teknologi dan kecerdasan buatan dari Tamil Nadu dan seluruh India Selatan.
Program berkenaan membuka peluang kepada peserta untuk meneroka perdagangan dan pelaburan antarabangsa, kerjasama perniagaan, perkongsian teknologi serta peluang mengembangkan pasaran di Jepun. Pertemuan secara langsung antara syarikat India dan Jepun turut akan diadakan.

Selain itu, beberapa persatuan perdagangan dan industri Tamil Nadu dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan persatuan perniagaan Jepun.
Usaha itu turut membuka peluang kepada syarikat Tamil Nadu untuk menerima tugasan pengilangan dan kerja berkaitan susulan kekurangan tenaga kerja mahir di beberapa sektor di Jepun.
Penganjur menjemput usahawan, pengeksport, pengimport, pelabur serta syarikat teknologi dan AI untuk menyertai acara itu dan meneroka peluang pasaran Jepun. Untuk maklumat lanjut: +91 72999 92999 | +60 16 616 7708.



