Tak perlu baju oren jika hanya bantu siasatan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata individu yang hanya dipanggil untuk membantu siasatan tidak perlu dipakaikan baju oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia boleh menimbulkan persepsi berbeza terhadap mereka.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada seseorang itu perlu diambil tindakan atau didakwa. Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, hari ini.
Menurut Anwar, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menjalankan tugas secara adil dan berhemah. Katanya, jika terdapat bukti, tindakan perlu diteruskan, manakala individu yang tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan perlu dilepaskan.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan pendiriannya dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa kekal tegas. Beliau berkata usaha membersihkan negara daripada rasuah akan diteruskan selagi memegang amanah sebagai Perdana Menteri.




