
Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas akaun TikTok miliknya disekat daripada membuat siaran langsung selama lima tahun.
Menurut Aliff, dalam tempoh empat hari sahaja, beliau menganggarkan kerugian mencecah hampir RM1 juta kerana TikTok Live merupakan platform utama untuk menjual produk perniagaannya.
Aliff turut mengakui sekatan itu memberi kesan kepada emosi sehingga menyebabkan beliau berasa murung dan mengurung diri di dalam bilik. Namun, beliau mendakwa masih tidak mengetahui punca sebenar akaunnya dikenakan sekatan.
Bagi meneruskan operasi perniagaan, Aliff kini membuka akaun TikTok baharu dan berharap dapat kembali menjalankan jualan secara langsung seperti biasa.




