RM10.7 bilion tertunggak, 1.16 juta peminjam PTPTN belum selesai bayaran

Sebanyak RM10.7 bilion tunggakan bayaran balik PTPTN melibatkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 6 Oktober.
Katanya, kerajaan akan memperkukuh pengurusan pinjaman, termasuk menambah baik terma dan syarat supaya pinjaman lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan. Kutipan bayaran balik juga akan dipertingkatkan melalui penguatkuasaan serta kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak korporat.
Bagaimanapun, Zambry berkata PTPTN masih memberi ruang kepada peminjam yang menghadapi masalah kewangan untuk berbincang bagi penstrukturan semula bayaran mengikut kemampuan atau penangguhan bayaran, tertakluk kepada kelonggaran yang dibenarkan.




