Thailand mula persiapan anjur Tomorrowland 2026, jana RM645.5 juta ekonomi setempat

Thailand kini giat membuat persiapan bagi menganjurkan edisi pertama festival muzik global Tomorrowland di Asia Tenggara, yang dijangka menjana lebih 5 bilion baht (RM645.5 juta) kepada ekonomi tempatan.
Festival gergasi dari Belgium itu akan berlangsung pada Disember 2026 di Wisdom Valley, Pattaya, dan dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung setiap hari, sekali gus menjadikan Chon Buri sebagai destinasi baharu pelancongan muzik antarabangsa.
Pihak berkuasa daerah Bang Lamung telah mengadakan mesyuarat strategi bagi merangka pelan operasi merangkumi pengurusan orang ramai, keselamatan dan logistik pengangkutan.
Sebagai sebahagian daripada persiapan keselamatan, Penolong Ketua Kampung Bahagian Keselamatan di setiap daerah juga dilantik untuk menyelaras aspek kawalan keselamatan sepanjang festival mega itu.




