Tidak terjejas dengan Himpunan Turun Anwar bukti kematangan Kerajaan Madani

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyifatkan himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung baru-baru ini sebagai satu cerminan kematangan demokrasi di bawah Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, tindakan kerajaan yang membenarkan perhimpunan itu berlangsung tanpa sekatan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menghormati prinsip demokrasi dan hak rakyat untuk bersuara.
“Perhimpunan itu sebenarnya menunjukkan kematangan kerajaan, sebab kita benarkan ia berlaku kerana itu adalah hak mereka. Kita sekarang berada dalam negara yang mempraktikkan demokrasi, jadi itu ruang dan hak mereka untuk menyuarakan pendapat,” katanya.
Mengulas lanjut, Syerleena berkata kerajaan bersedia untuk mendengar segala kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakyat, selagi ia disuarakan secara konstruktif.
“Kita akan dengar kebimbangan mereka, dan jika ia sesuatu yang membina, kita akan cari jalan ke hadapan. Walaupun ada himpunan seperti ini, kerajaan tetap akan terus memastikan prestasi ditingkatkan dan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.
Tambah beliau, himpunan tersebut tidak memberi kesan kepada hala tuju pentadbiran kerana fokus kerajaan adalah untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat.
“Dengan atau tanpa perhimpunan, kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa. Apa pun, itu hak mereka dan kita hormati. Tapi bagi kerajaan, kita jalan terus,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 3,000 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan mengawasi perjalanan perhimpunan tersebut yang menerima kehadiran 18,000 peserta termasuk mengawal aliran trafik serta keselamatan di sekitar Dataran Merdeka.




