KJ buat ‘comeback’, dijangka sertai semula UMNO dan tanding di Kepala Batas

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan bakal kembali menyertai UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
Menurut laporan Berita Harian, dakwaan itu tercetus selepas Khairy atau KJ mendapat restu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan, isyarat tersebut disampaikan Zahid kepada Khairy semasa menghadiri majlis perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.
Khairy dijangka menghantar borang permohonan keahlian dalam masa terdekat dan akan turut membantu kempen UMNO serta Barisan Nasional (BN) di PRN Sabah nanti.
Sumber turut memaklumkan Khairy dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Bagaimanapun setakat ini, UMNO belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Khairy selepas pernah dipecat daripada parti pada Januari 2023.




