Tiga anggota Geng Kapten Praba tiba dari Mumbai, didakwa di mahkamah

Tiga lelaki disyaki anggota kumpulan jenayah terancang Geng Kapten Praba tiba di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang hari ini bagi menghadapi prosiding mahkamah.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu tiba di KLIA kira-kira jam 1 pagi menaiki penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, Mumbai sebelum dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat polis dan tiba sekitar jam 2.35 petang.
Tangkapan dibuat menerusi Op Jack Sparrow oleh JSJ Bukit Aman berdasarkan waran Mahkamah Sesyen Sepang bertarikh 14 Januari 2026.
Ketiga-tiga mereka ditahan pada 28 Januari 2026 dan disiasat sebagai ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Kumpulan diketuai individu dikenali sebagai Kapten Praba dengan rangkaian dianggarkan 33 anggota aktif sejak 2023, berusia 19 hingga 44 tahun.
Mereka dikaitkan dengan pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, samun berkumpulan dan khianat dengan api, antaranya insiden tembakan di Taman Sentosa, Klang serta kes bunuh di sebuah restoran di Brickfields.




