TPM Zahid mohon lepas, bebas 47 pertuduhan rasuah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, susulan keputusan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) awal Januari lalu.
Peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan langkah itu dibuat selepas lebih dua tahun Ahmad Zahid berstatus DNAA.
Permohonan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 30 Januari dan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor menetapkan 24 Februari untuk pendengaran.
Kes DNAA sebelum ini diputuskan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 4 September 2023. Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar menyatakan keputusan NFA dibuat selepas meneliti bahan siasatan dan beberapa representasi yang dikemukakan Ahmad Zahid.




