Selepas UK, SPRM luaskan siasatan aset Tun M di Switzerland

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap aset luar negara yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini diperluas ke Switzerland selepas United Kingdom (UK).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi penguat kuasa di kedua-dua negara termasuk International Anti-Corruption Coordination Centre (IAQCC) di UK bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Pada April lalu, Azam memaklumkan Dr Mahathir antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta dan setakat ini, tiada perkembangan baharu diperoleh.
Ekoran itu, kedua-dua anaknya, Tan Sri Mokhzani dan Mirzan Mahathir, diberi notis untuk mengisytiharkan aset masing-masing.
Menurut pengisytiharan harta kepada SPRM, Mokhzani memiliki kira-kira RM1 bilion aset, manakala Mirzan sebanyak RM246.2 juta.




