Siang bertukar jadi pusat khidmat seks waktu malam, tauke untung RM300,000 sebulan

Pada sebelah siang, ia memang kelihatan seperti pusat rawatan spa biasa, namun tiba waktu malam, premis pusat urut di Puchong dan Kuala Lumpur ini berubah menjadi lokasi pelacuran.
Kegiatan itu terbongkar selepas risikan dua minggu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang mendapati pengusaha mempromosikan pakej seks melalui kad perniagaan, media sosial dan aplikasi mesej dengan kadar bayaran antara RM200 hingga RM350.
Premis menyediakan bilik persendirian serta kemudahan tambahan, menjadikan keuntungan mencecah RM300,000 sebulan.
Hasil maklumat diperoleh, seramai 55 pegawai digerakkan ke beberapa lokasi, memeriksa 42 individu terdiri daripada dua lelaki, 29 wanita warga asing serta 11 rakyat tempatan.
Daripada jumlah itu, 28 warga asing berusia 21 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk dua wanita Thailand, seorang lelaki dan tiga wanita China, lima wanita Myanmar, 12 wanita Indonesia, empat wanita Vietnam serta seorang lelaki India.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. Selain itu, tujuh saman turut dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di lokasi semasa operasi.




