Tunku Ismail pertimbang jual tanah di Singapura bernilai RM11.4 bilion

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan sedang mempertimbangkan penjualan sebidang tanah mewah seluas 16.6 hektar di salah satu kawasan kediaman paling eksklusif di Singapura.
Menurut laporan Bloomberg, tanah berkenaan dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$3.5 bilion (RM11.4 bilion), menjadikannya antara urus niaga hartanah terbesar pernah direkodkan di negara itu.
Difahamkan, wakil Tunku Ismail sudah mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pemaju tempatan serta pembeli berpotensi.
Langkah ini susulan pertukaran tanah antara kerajaan Singapura dan Tunku Ismail pada Jun lalu, bagi memastikan pembangunan baharu tidak menjejaskan kawasan Taman Botani yang diiktiraf UNESCO.
Setakat ini, difahamkan Tunku Ismail masih menimbang sama ada menjual keseluruhan tanah, sebahagiannya atau mengekalkan pegangan minoriti dalam pembangunan yang bakal dijalankan. Namun, rundingan masih di peringkat awal.




