Malaysia
7 pelajar IKBN Miri digantung seminggu kerana kes buli

Tujuh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak digantung pengajian selama seminggu susulan kes buli yang tular di media sosial.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN selepas meneliti tindakan sewajarnya terhadap semua yang terlibat.
Selain penggantungan, elaun pelajar terbabit dihentikan serta-merta, mereka diwajibkan menjalani kerja amal, melapor diri secara berkala kepada pegawai disiplin serta tidak dibenarkan keluar asrama selama sebulan.
Semua pelajar terlibat termasuk mangsa juga perlu mengikuti sesi kaunseling.
Kes berkenaan tercetus selepas rakaman 13 saat tular memaparkan sekumpulan pelajar mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terhantuk pada tiang.




