Inkues: Zara pernah luah mahu cederakan diri – Saksi

Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa sejak April lalu, Zara Qairina Mahathir kerap meluahkan hasrat mahu mencederakan diri kerana kecewa dengan kehidupannya. Saksi itu turut mengesahkan catatan diari Zara yang merakam rasa tidak disukai orang sekeliling.
Peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja tertuduh dalam kes buli itu, berkata saksi berkenaan juga menjelaskan pada malam Zara dipanggil dan disoal siasat berhubung kes kecurian, tiada sebarang insiden seperti dipukul atau diheret.
Dalam keterangan saksi pertama, mahkamah dimaklumkan Zara pernah bermalam di rumahnya di Sipitang dua hari sebelum kejadian, namun berlaku insiden Zara dimarahi ibunya sebelum mereka dihantar semula ke asrama.
Prosiding akan bersambung hari ini secara tertutup dengan keterangan saksi kanak-kanak keempat dan kelima di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.




