
Sukan padel di Sweden yang pernah berkembang pesat selepas pandemik COVID-19 kini berdepan kejatuhan mendadak apabila permintaan merosot, meninggalkan ribuan gelanggang tanpa pemain.
Memetik laporan Court Brain, pada kemuncaknya, sukan ini berkembang pantas dengan lebih 4,000 gelanggang dan sekitar 600,000 pemain di seluruh negara, menjadikannya antara sukan paling cepat berkembang.
Namun, selepas kehidupan kembali normal, minat terhadap padel merosot dan banyak gelanggang kini terbiar kosong.
Antara punca utama ialah pertumbuhan gelanggang yang terlalu cepat. Di Uppsala misalnya, jumlah gelanggang meningkat daripada hanya 14 kepada 100 dalam tempoh setahun, jauh melebihi kapasiti komuniti tempatan.
Akibatnya, sebahagian besar premis terpaksa ditutup atau diubah menjadi kedai runcit serta stor simpanan.
Selain menggulung tikar, beberapa syarikat besar juga tidak terlepas daripada tekanan apabila terpaksa menutup lebih 50 lokasi dengan kerugian kira-kira 716 juta kronor Sweden pada tahun lalu.
Walaupun laporan Deloitte meramalkan pasaran global padel mampu mencecah €4 bilion menjelang 2026, kisah Sweden menjadi amaran jelas bahawa pertumbuhan tanpa perancangan kukuh boleh membawa padah.




