SK Putrajaya Presint 11(1) Menang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025

Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat anjuran T4 Education.
Pengumuman dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) pada Selasa dalam perhimpunan khas bersama Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dengan kehadiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Kemenangan itu membolehkan sekolah berkenaan menerima hadiah USD50,000 (RM235,000).
Kejayaan dicapai hasil inisiatif aplikasi mudah alih HELPIE yang dilancarkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran serta sokongan kesihatan mental murid, digabungkan dengan kempen rakan sebaya di bilik darjah yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar.
T4 Education ialah badan pendidikan global berpangkalan di United Kingdom yang sejak 2022 memberi pengiktirafan kepada sekolah memberi inspirasi melalui inovasi dalam pendidikan, kesejahteraan, alam sekitar dan sokongan komuniti.
Sebagai pemenang, tiga wakil SK Putrajaya Presint 11(1) akan menyertai Persidangan Sekolah Dunia 2025 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dari 13 hingga 20 November bertemakan “Kepimpinan untuk Dunia Lebih Baik” bersama pemimpin pendidikan, inovator dan pembuat dasar antarabangsa.


