Sindiket ‘scam’ Myanmar semakin meluas, disokong satelit milik Elon Musk

Sindiket penipuan di Myanmar kembali beroperasi lebih agresif walaupun tindakan besar-besaran dilakukan sebelum ini.
Kawasan Myawaddy di sempadan Thailand-Myanmar yang pernah digempur kini menyaksikan pembinaan bangunan baharu, dipercayai pusat operasi penipuan melibatkan pemerdagangan manusia dan buruh paksa.
Selepas pihak berkuasa Thailand memutuskan bekalan elektrik dan internet ke kawasan itu, sindiket dilapor beralih kepada penggunaan Starlink, perkhidmatan satelit milik Elon Musk, sebagai sumber internet utama.
Menurut data pendaftaran internet Asia (APNIC), Starlink kini menjadi penyedia internet terbesar di Myanmar dari 3 Julai hingga 1 Oktober, meskipun tidak mempunyai lesen operasi di negara itu.
Malah, hampir 80 piring Starlink dikesan di bumbung satu kompleks besar dikenali sebagai KK Park, yang terkenal sebagai pusat penipuan antarabangsa.
Amerika Syarikat melalui Jawatankuasa Ekonomi Kongres kini memulakan siasatan terhadap penglibatan Starlink dalam operasi sindiket.




