Rakyat Malaysia memang prihatin, tetapi jangan sesekali sentuh mangsa terlibat kemalangan

Perdebatan sama ada perlu atau tidak menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan masih berterusan sehingga ke hari ini.
Hakikatnya jawapannya mudah, orang ramai tidak digalakkan untuk cuba menyelamatkan mangsa kemalangan terutama di jalan raya kerana ia mungkin membawa padah jika rawatan diberikan adalah salah.
Rata-rata pengamal perubatan menasihatkan agar sesiapa sahaja yang berada di lokasi kemalangan untuk tidak terburu-buru ketika membantu mangsa kemalangan.
Sister Adebah, pesara jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menegaskan bahawa saksi kemalangan hanya boleh bertanya sahaja keadaan mangsa, tetapi tidak boleh sama-sekali menyentuh mereka.
Katanya, ia berisiko membawa kematian sekiranya mangsa ada kecederaan dibahagian leher dan saksi kemalangan tersalah cara untuk memapah mangsa.
Turut menyuarakan pandangan sama adalah pegawai perubatan, Dr. Aliff Zaki yang mendedahkan jangan cuba buka topi keledar mangsa yang menunggang motosikal.
Ini kerana jika tersalah angkat atau salah pusing, ia boleh menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang dan kelumpuhan serta membawa maut.




