Kerajaan digesa haramkan Roblox selepas kes kanak-kanak tikam adik

Parti Amanah Negeri Johor menggesa kerajaan mempertimbangkan pengharaman permainan dalam talian Roblox susulan kejadian seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menikam adiknya yang berusia enam tahun di Johor, dipercayai akibat pengaruh permainan tersebut.
Setiausaha Amanah Johor, Mohd Idris Mohd Jiat, berkata permainan itu semakin membimbangkan kerana mengandungi unsur keganasan, penyamaran identiti dan interaksi tidak terkawal yang boleh menjejaskan akhlak serta perkembangan sosial kanak-kanak.
Beliau menegaskan kerajaan perlu memperkenalkan dasar perlindungan digital yang lebih ketat, termasuk garis panduan dan sekatan umur jelas terhadap permainan interaktif yang boleh diakses secara bebas oleh golongan bawah umur.
Amanah Johor turut mendesak MCMC mempertingkat pemantauan terhadap aktiviti siber melibatkan kanak-kanak bagi mengekang penyebaran kandungan berunsur negatif di ruang maya.
Dalam kejadian di Ulu Tiram, polis mendapati suspek bertindak menyerang adiknya selepas berang telefon bimbitnya rosak hingga kehilangan kira-kira sejuta mata permainan Roblox.
Kanak-kanak itu turut dipercayai mengalami halusinasi akibat pengaruh permainan berkenaan.




