
Malaysia dan Pakistan memperkukuh kerjasama undang-undang dan keselamatan selepas kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP), semalam.
Perjanjian itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi, di Pejabat Perdana Menteri Pakistan.
Saifuddin berkata, perjanjian itu hasil lima pusingan rundingan sejak September 2025, melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Kabinet turut meluluskan perjanjian itu pada 13 Mei lalu.
Menerusi ITOP, banduan Malaysia yang dipenjarakan di Pakistan boleh dipindahkan pulang untuk menjalani baki hukuman di Malaysia, manakala banduan Pakistan di Malaysia boleh dihantar pulang ke negara asal.



