“Tak selalu MC” – majikan Singapura lebih pilih pekerja Malaysia sebab lebih rajin

Dakwaan bahawa ramai usahawan Singapura kini lebih cenderung mengambil pekerja Malaysia dan Filipina berbanding rakyat tempatan kerana menganggap mereka lebih rajin, pantas dan berdisiplin menjadi bualan hangat menerusi perkongsian di TikTok Melvin Soh.
Menurut penasihat kewangan atas talian itu, ramai majikan di Singapura lebih puas hati dengan prestasi pekerja asing yang dianggap lebih cekap dan kurang memberi masalah.
Ia berbanding pekerja tempatan yang sering dikaitkan dengan sikap sambil lewa, banyak alasan serta kerap mengambil cuti sakit sehingga ada yang sanggup memberhentikan pekerja warga tempatan bagi memberi ruang kepada tenaga kerja asing.
Fenomena ini turut dikaitkan dengan perubahan pasaran kerja yang semakin kompetitif serta kesediaan pekerja asing menerima gaji lebih rendah.
Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) juga menjadikan perbezaan kemahiran antara pekerja tempatan dan asing semakin kecil, sekali gus mengurangkan kelebihan warga Singapura dalam pasaran kerja.
Video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, ada yang bersetuju bahawa rakyat Singapura semakin hilang daya saing, manakala yang lain berpendapat majikan sepatutnya menawarkan gaji dan insentif lebih adil bagi menarik minat pekerja tempatan.




