Fadlun Mak Ujud dilantik Datuk Bandar KL baharu, Maimunah pegang jawatan di Petronas

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa esok, menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Pelantikan itu dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Fadlun, 58, yang menerajui PPj sejak 2022, dikenali melalui peranannya memacu pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, inisiatif transformasi hijau dan agenda kesejahteraan bandar berasaskan kelestarian.
Sementara itu, tempoh pelantikan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal, bagi membolehkannya menyertai Petronas, sebuah syarikat berkaitan kerajaan utama negara.
Perubahan itu turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, dengan tarikh akhir perkhidmatannya diselaraskan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.




